Artikel & BeritaIsu Pendidikan

Cadangan Pelaksanaan Semula Dasar Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dalam Bahasa Inggeris (Ppsmi) & Kesannya Daripada Pengalaman Lalu

CADANGAN PELAKSANAAN SEMULA DASAR PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) & KESANNYA DARIPADA PENGALAMAN LALU

Apa itu PPSMI?
Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah dilaksanakan mulai sesi persekolahan 2003 dengan perintisnya di sekolah rendah ialah semua murid Tahun Satu, di sekolah menengah (Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam Rendah), dan di matrikulasi.

Pelaksanaan dasar PPSMI ini termaktub sebagai dasar kerajaan Malaysia hasil keputusan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 yang telah membawa suatu paradigma baharu dalam sistem pendidikan di Malaysia. Pelaksanaan penuh PPSMI di peringkat sekolah rendah adalah pada tahun 2008, manakala di sekolah menengah pada tahun 2007. Sepanjang pelaksanaan dasar PPSMI, sebanyak RM3 billion telah diperuntukkan bagi tujuan pembelian komputer riba, bahan bantu mengajar, latihan guru dan intensif guru. Kursus dan latihan serta bimbingan yang berterusan dijalankan sepanjang dasar PPSMI ini bagi mencapai matlamat dasar PPSMI.

Idea perubahan bahasa pengantar yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (pdp) bagi mata pelajaran Sains dan Matematik tercetus apabila kerajaan pemerintah pada ketika itu berpendapat bahawa Malaysia perlu mengorak langkah ke hadapan dan bersaing dalam arus globalisasi. Bagi menghadapi cabaran tersebut, Malaysia perlu membangunkan dan mempersiapkan sumber tenaga manusia bermula dari peringkat sekolah lagi, iaitu melalui penguasaan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, termasuk Bahasa Inggeris. Rasionalnya, Sains dan Matematik merupakan bidang yang amat penting dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara agar terus kompetitif di persada dunia.

Pelbagai kajian dan penyelidikan berkaitan sains, matematik serta teknologi dan inovasi berkembang dengan pesat dan pantas. Namun, kebanyakan ilmu serta kajian dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris. Tambahan pula, bahasa Inggeris ialah bahasa perhubungan antarabangsa. Penguasaan dalam bahasa Inggeris akan memudahkan seseorang belajar atau memperoleh ilmu dalam bidang sains dan matematik dari seluruh dunia. Justeru, kerajaan Malaysia mencadangkan pelaksanaan dasar PPSMI ini untuk memastikan murid dapat menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik dengan lebih baik, dan pada masa yang sama meningkatkan penguasaan dan kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Pemansuhan PPSMI

Walau bagaimanapun, setelah hampir tujuh tahun pelaksanaan dasar PPSMI, kerajaan telah mengumumkan pemansuhan dasar tersebut pada 8 Julai 2009 dan akan ditamatkan sepenuhnya pada tahun 2012. Pelaksanaan PPSMI di sekolah tidak dihentikan serta merta, sebaliknya secara soft landing dengan menggantikannya dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dasar PPSMI telah memberi kesan yang besar dalam sistem pendidikan negara.

Pelaksanaannya mendapat tentangan dan reaksi daripada pelbagai pihak sehingga mencetuskan konflik dalam masyarakat. Namun, pemansuhannya telah dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada pihak-pihak yang berkepentingan termasuk ibu bapa, murid-murid, parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), serta ahli-ahli akademik.

Kegagalan PPSMI disebabkan oleh beberapa faktor yang dilihat tersasar daripada matlamat sebenar pelaksanaan PPSMI yang ingin melahirkan modal insan yang mampu bersaing di pentas dunia, sekali gus memajukan negara dalam pelbagai bidang. Dalam laporan Kementerian Pelajaran Malaysia (2009), berdasarkan pemantauan yang telah dijalankan pada tahun 2008 mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Selain itu, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun 2008 mencapai tahap profisiensi.

Penurunan pencapaian murid dalam peperiksaan menjadi petunjuk utama kegagalan PPSMI. Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2008 telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus. Selain itu, jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan (KPM, 2009).

Berdasarkan Laporan Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) 2007, pencapaian murid Malaysia telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 dalam mata pelajaran Sains pada tahun 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007. Manakala, menerusi laporan Programme for International Student Assessment (PISA), Malaysia berada di bawah gred purata antarabangsa. Kedudukan negara kita bagi mata pelajaran Sains adalah pada tangga ke-52 pada tahun 2009 dan merosot ke tangga ke-53 pada tahun 2012. Bagi mata pelajaran Matematik pula, Malaysia berada pada kedudukan ke-57 pada tahun 2009 dan ke-52 pada tahun 2012.

Hal ini dibuktikan lagi melalui kajian universiti-universiti tempatan yang mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Cadangan Pelaksanaan Semula PPSMI

Pada 9 Mac 2019, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi membangkitkan semula isu PPSMI dengan menyatakan bahawa kerajaan Malaysia mengambil pendekatan membenarkan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah setelah dasar tersebut dimansuhkan sepenuhnya pada 2012. Pada masa yang sama, penggunaan bahasa kebangsaan dalam pdp bagi kedua-dua mata pelajaran masih tetap diteruskan. Sekolah-sekolah diberi pilihan untuk melaksanakan pdp Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Sehubungan itu, pada 24 April 2019, kerajaan Sarawak telah bersetuju melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sekali gus menjadi negeri pertama melaksanakan semula PPSMI seperti yang dikehendaki Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Cadangan pelaksanaan semula PPSMI tersebut telah menimbulkan perbahasan di media-media sosial serta mendapat reaksi yang pelbagai dalam kalangan ahli akademik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat. Antaranya, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohd Ali Hassan yang berpendapat bahawa perkembangan tersebut dikhuatiri akan mewujudkan dualisme pemikiran dan daya bertindak apabila kerajaan membenarkan untuk sekolah-sekolah untuk membuat pilihan sama ada menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dalam proses pdp Sains dan Matematik.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad menyatakan bahawa hasrat kerajaan untuk melaksanakan semual PPSMI dilihat sebagai tergesa-gesa. Beliau juga berpendapat bahawa pelaksanaan PPSMI dan juga Program Dwibahasa (DLP) bukan sekadar menjulang bahasa Inngeris dan meminggirkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tetapi lebih licik iaitu untuk meminggirkan system pendidikan kebangsaan bagi diganti dengan sistem pendidikan pelbagai aliran termasuk aliran Inggeris.

Kebimbangan para pejuang bahasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bahasa, budaya dan sastera terhadap cadangan pelaksanaan semula PPSMI berikutan terdapat pihak-pihak tertentu yang meminta agar dasar tersebut dikembalikan dalam era Malaysia Baharu di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sekiranya PPSMI dilaksanakan semula, perkara tersebut dianggap mengulangi kegagalan dasar tersebut yang pernah dilaksanakan sebelum ini. Menurut Profesor Pengajian Dunia Melayu, Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Awang Sariyan, PPSMI sudah pun berkubur sepenuhnya pada 2012 kerana dibuktikan gagal menerusi kajian peringkat antarabangsa pada 2007, dan turut disahkan melalui kajian yang dijalankan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2008.

Kesan PPSMI Terhadap Kedudukan Bahasa Melayu

Pelaksanaan semula PPSMI sekali lagi akan mencetuskan kemarahan pejuang-pejuang bahasa yang secara konsisten mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dasar PPSMI dilihat sebagai bertentangan dengan perlembagaan negara yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152. Tambahan pula, dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan secara jelas menggariskan bahawa bahasa kebangsaan dijadikan sebagai bahasa pengantar yang utama dalam sistem pendidikan negara.

Sekiranya pelaksanaan PPSMI diteruskan, martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semakin terhakis. Bahasa Melayu yang dikatakan sebagai medium perpaduan rakyat Malaysia juga akan menjadi sekadar retorik semata-mata. Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara kita tidak akan tercapai dengan pelaksanaan PPSMI. Pada era teknologi yang semakin pesat berkembang ini, bahasa Melayu semakin dipinggirkan dan masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia masih lemah dalam penguasaan bahasa Melayu, baik dari segi penulisan mahupun pertuturan. Walaupun PPSMI hanya melibatkan dua mata pelajaran, iaitu Sains dan Matematik, namun hal ini akan memberikan kesan yang negatif terhadap perkembangan pendidikan serta menjejaskan usaha pembinaan identiti dan jati diri rakyat Malaysia.

Kesan PPSMI Terhadap Pencapaian Murid

Dasar PPSMI yang pernah dilaksanakan sebelum ini jelas membuktikan bahawa pelaksanaannya telah memberi kesan yang sangat besar terhadap pencapaian dan penguasaan murid dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut, terutamanya kepada murid-murid yang sememangnya sudah lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris. Hal ini terbukti dalam kajian oleh Junaidi dan Mohd Fuad (2010) bahawa prestasi pencapaian mata pelajaran Sains dan Matematik dalam tempoh pelaksanaan dasar PPSMI adalah semakin merosot, terutamanya di sekolah harian luar bandar, kerana pihak-pihak yang terlibat tidak memahami istilah atau konsep dalam bahasa Inggeris bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut, tidak menguasai asas bahasa Inggeris itu sendiri, pengajaran tidak jelas dan kekurangan bahan pengajaran.

Masalah ini bukan sahaja berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan, bahkan turut berlaku di sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Menurut kajian Cheong Yuen Keong (2010), kelemahan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik telah menyebabkan mereka tidak mendapat keputusan yang baik sepertimana yang mereka capai apabila Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda mereka iaitu bahasa Cina. Dalam kajiannya juga, guru-guru di SJKC berpendapat bahawa murid-murid mereka tidak dapat mengikuti pelajaran yang disampaikan guru, dan murid yang lemah memang tidak berkeupayaan mengikuti kelas PPSMI.

Kegagalan PPSMI sebelum ini jelas berpunca daripada kemerosoton murid-murid dalam pencapaian bagi kedua-dua mata pelajaran yang diajar dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Kelemahan murid dalam menguasai bahasa Inggeris telah membataskan murid-murid untuk memahami kedua-dua mata pelajaran, iaitu Sains dan Matematik. Faktor ini perlu dinilai dengan teliti oleh kerajaan sebelum memutuskan pelaksanaan semula PPSMI, kerana ia bukan sahaja menyebabkan sistem pendidikan negara menjadi huru-hara, bahkan boleh menjejaskan masa depan murid-murid.

Kesediaan Murid dalam Pelaksanaan PPSMI

Cabaran yang paling ketara dalam pelaksanaan PPSMI sebelum ini adalah untuk menyediakan murid yang dapat memahami kandungan pelajaran Sains dan Matematik, pada masa yang sama mereka perlu menguasai bahasa Inggeris. Walaupun terdapat murid yang berpotensi untuk menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik, namun penguasaan bahasa telah membataskan mereka. Menurut Noor Azlan dan Norhasnida (2010), pelaksanaan PPSMI ternyata membebankan murid-murid, walaupun mereka memiliki kemahiran di dalam mata pelajaran Matematik tetapi bermasalah untuk berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris. Hal ini disokong oleh kajian Cheong Yuen Keong (2010) yang mendapati masalah murid tidak memahami pengajaran dan isi kandungan dalam buku disebabkan oleh muird yang belum dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Menurut laporan Unit Penyelidikan dan Perancangan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia dari tahun 2003 hingga tahun 2007, Kementerian Pendidikan telah membuat tinjauan di sebanyak 4,813 buah sekolah rendah, termasuk 3,531 buah SRK, 864 buah SRJKC dan 418 buah SRJKT. Hasilnya didapati 89% murid jarang menggunakan bahasa Inggeris dalam kelas PPSMI, dengan 87.2% murid itu tidak menggunakan bahasa Inggeris semasa berinteraksi dengan guru, manakala 78.6% murid itu berada dalam tahap penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dan guru belum bersedia untuk melaksanakan dasar PPSMI.

Kesediaan Guru dalam Pelaksanaan PPSMI

Selain masalah yang wujud dalam kalangan murid-murid yang mengikuti PPSMI, dasar ini juga mendatangkan masalah dalam menyediakan guru yang benar-benar mahir menyampaikan pdp Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan baik dan berkesan. Namun, menurut kajian Goh San San, Rahimah Ahmad dan Wong Teck Kim (2005) mendapati ramai guru PPSMI menghadapi masalah dan mengalami kesukaran untuk menghurai dan menerangkan contoh-contoh yang berkaitan dengan tajuk Sains yang ditemui dalam kehidupan seharian mereka kepada murid-murid. Bahkan, masih terdapat juga guru-guru yang belum bersedia dengan baik untuk mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah.

Manakala, dalam kajian Paul Lau, Hwa Tee Yong dan Lau Sie Hoe (2005) mendapati penguasaan bahasa Inggeris yang terhad dalam kalangan guru-guru menyebabkan murid-murid tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan baik. Sebaliknya, guru-guru terpaksa menjalankan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu untuk memudahkan ilmu disampaikan dengan baik kepada murid-murid. Masalah utama yang dihadapi guru adalah kesukaran untuk menerangkan sesuatu konsep Sains dalam bahasa Inggeris (Mohamad Fadhili 2009).

Dapatan kajian oleh Seth & Umi Mardhiah (2010), juga menunjukkan guru-guru PPSMI menghadapi kesukaran dalam memahami kandungan mata pelajaran Sains dalam bahasa Inggeris. Mereka menghadapi masalah mengenai istilah, konsep, rumus, rasional serta operasi Sains yang sememangnya sukar dalam bahasa Melayu apatah lagi di dalam bahasa Inggeris. Hal ini secara tidak langsung akan menjejaskan proses penyampaian ilmu kepada murid-murid. Isunya bukan pada penguasaan kandungan pelajaran oleh guru, sebaliknya keterbatasan dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran disebabkan oleh penguasaan bahasa Inggeris yang terhad. Guru-guru PPSMI mempunyai kelayakan yang mencukupi untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah rendah tetapi sebahagian besar daripada mereka berpencapaian rendah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan lemah dalam aspek kecekapan lisan dan tulisan bahasa tersebut (Mohd Rasdi 2003).

PPSMI Melebarkan Jurang Sosial

Pelaksanaan semula PPSMI bakal mewujudkan satu jurang sosial yang ketara dalam kalangan rakyat di negara kita. Sememangnya PPSMI akan memberi banyak kelebihan kepada murid-murid dari golongan elit di kawasan bandar atau murid-murid dari sekolah-sekolah yang terpilih dan berprestasi cemerlang, namun ia akan meninggalkan sebahagian besar murid-murid yang sederhana dan lemah, terutamanya di kawasan luar bandar jauh ke belakang. Hal ini menunjukkan sistem pendidikan kita yang tidak seimbang.

Murid luar bandar masih lagi lemah dalam penggunaan bahasa Inggeris. Murid masih tidak mampu menggunakan bahasa Inggeris di dalam kehidupan seharian berikutan daripada kekurangan pendedahan terhadap penggunaan bahasa Inggeris jika dibandingkan dengan murid yang tinggal di kawasan bandar. Kekangan bahasa ini menjejaskan prestasi mereka yang berminat untuk turut sama cemerlang di dalam mata pelajaran Matematik. Masalah bahasa merupakan satu masalah yang serius kerana penentu kepada sampainya sesuatu maklumat itu bergantung kepada kelancaran bahasa yang digunakan oleh penyampai dan penerima (Noor Azlan dan Norhasnida 2010).

Hal ini amat berbeza jika dibandingkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid di kawasan bandar, yang mana ibu bapa mereka lebih mementingkan pendidikan anak-anak, di samping peluang untuk belajar bahasa Inggeris lebih luas sama ada di dalam mahupun di luar sekolah (Paul Lau Ngee Kiong, Hwa Tee Yong & Lau Sie Hoe 2005).

Sekiranya PPSMI akan dilaksanakan semula, rakyat negara kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah disebabkan dualisme yang mewujudkan aliran pemikiran yang berbeza paksinya, semata-mata berpunca daripada penggunaan bahasa Inggeris dalam pdp bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Jurang sosial juga semakin melebar, bukan sahaja antara bandar dengan luar bandar, bahkan lebih teruk lagi berlakunya polarisasi kaum yang semakin ketara dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum.

Kesimpulan

Cadangan melaksanakan semula dasar PPSMI wajar dibantah dan tidak diteruskan kerana ia banyak mendatang implikasi yang negatif terhadap sistem pendidikan negara dan kehidupan sosial masyarakat di negara kita. Dasar PPSMI yang jelas bertentangan dengan perlembagaan negara dan Dasar Pendidikan Kebangsaan akan mencalar martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar ilmu dan bahasa perpaduan. Pelaksanaan dasar ini yang pernah menemui kegagalan seharusnya dijadikan panduan dan pengajaran kepada kerajaan dan rakyat Malaysia secara amnya. Negara kita dilihat masih tidak yakin dengan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mencerminkan bangsa kita. Kemajuan dan pembangunan sesebuah negara bukanlah hanya bergantung kepada faktor bahasa semata-mata. Sebaliknya, penerapan nilai jati diri dan identiti nasional amat penting bagi melahirkan rakyat yang cinta akan negara, dan seterusnya sama-sama membangunkan negara serta bersaing di peringkat global dalam arus Revolusi Industri 4.0 (4IR) pada masa kini. Semoga usaha dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat diteruskan oleh generasi-generasi muda pada hari ini walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran di tanah air sendiri.

Oleh:
Cikgu Abdul Gafar Mahdi
YDP Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-GURU)
Cawangan Sarawak

Back to top button