Cadangan Pemakaian Kasut Hitam Sesi 2019
iGuru menyambut baik cadangan KPM untuk menyeragamkan kasut sekolah berwarna hitam mulai tahun depan sebagaimana yang diumumkannoleh YB Menteri Pendidikan Dr. Mazlee b Malik. iGuru berharap langkah tersebut dapat mengurangkan kos yang ditanggung ibubapa terutama jika memakai kasut yang berwarna putih yang cepat kotor dan perlu dicuci selalu.
Namun iGuru juga berharap pihak KPM dan YB Menteri dapat menumpukan keutamaan kepada perkara yang bersifat fundamental di dalam pendidikan negara seperti isu berkaitan menambahbaik prasarana sekolah luar bandar, meningkatkan sistem pembelajaran, kemenjadian dan disiplin murid serta memperkasa sekolah- sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan ibubapa bagi semua kaum.
Dalam masa yang sama iGuru berharap pihak YB Menteri melihat isu beban berat beg sekolah pelajar yang menjadi rungutan ibubapa termasuk juga isu beban tugas guru untuk ditangani dan diatasi segera disebalik pelbagai pengumuman dan kenyataan YB Menteri.
iGuru juga menyokong YB Menteri untuk melihat semula dasar pendidikan negara untuk menjadikan pendidikan kita bertambah maju. Untuk itu iGuru berpandangan antara aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah kurikulum pendidikan. iGuru berharap KPM dapat memastikan kurikulum pendidikan negara ditambah baik dengan dasar-dasar yang memberikan kebaikan kepada para pelajar sekaligus menjadikan Malaysia hub pendidikan serantau. Dasar-dasar tersebut hendaklah menjamin apa yang termaktub di dalam Dasar pendidikan dan kerangka falsafah pendidikan negara sekaligus memartabatkan Bahasa Melayu sebagai wadah penyatuan bangsa dan perpaduan kaum.
Mohd Azizee Hasan
Presiden iGuru