Isu Pendidikan

Covid 19 Cabaran Digitalisasi Pendidikan

Covid 19 Cabaran Digitalisasi Pendidikan

Dunia terancam dengan malapetaka pendemik Covid 19. Bukan sahaja aspek ekonomi malah seluruh dimensi kehidupan manusia. Masyarakat global terpaksa berubah gaya hidup mereka dan keluar dari kebiasaan sedia ada.

Tidak terkecuali dalam hal ini ialah  pendidikan akibat serangan pendemik Covid 19. Implikasi pendamik Coronavirus telah mengubah struktur sistem pembelajaran dan halatuju pendidikan dunia. Sistem pembelajaran berpaksikan guru murid secara langsung bertukar kaedah kepada pembelajaran secara atas talian. Pihak kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia perlu segera mengenalpasti senario yang mungkin berlaku dan apakah persediaan untuk menghadapi cabaran tersebut demi melonjakkan kelestarian pendidikan.

Tiga isu besar  perlu dilihat dan di ambil kira iaitu :

Isu pertama , Covid 19 telah mengubah cara pembelajaran berjuta-juta murid di seluruh dunia termasuk murid di Malaysia. Murid-murid terpaksa melalui pembelajaran secara e-learning dan ini menuntut kerajaan menyediakan akses capaian internet yang berkualiti serta penyediaan infranstruktur yang cukup dan lengkap agar semua murid mendapat pendidikan dari kota hingga ke desa.

Sebagai contoh, seramai 120 juta rakyat China mendapat akses pembelajaran melalui siaran langsung TV Pendidikan. Manakala sebahagian negara seperti Hong Kong memulakan pembelajaran di rumah menggunakan aplikasi interaktif. Ini meningkatkan penggunaan paranti pintar dan peluasaan capaian internet. Kita di Malaysia telah diperkenalkan TV Okay untuk menangani jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar agar semua murid mendapat hak pendidikan dan pembelajaran.

Isu kedua ialah setiap negara di seluruh dunia sedang merancang dan memikirkan inovasi-inovasi baharu dalam menyelesaikan  isu-isu pendidikan global. Apakah inovasi baharu ini memberikan impak positif atau keterlewatan kita merespon akan menyebabkan pendidikan kita ketinggalan. Pendidikan alaf baharu menekankan keperluan Revolosi Industri 4.0 dan mencipta pemikiran kecerdasan buatan (AI) . Sejauh mana pendemik Covid 19 membuka ufuk pendigitalan kaedah pendidikan serta mempercepatkan proses keilmuan melalui e-book, e-lerning, e-data dan sebagainya serta penciptaan teknologi baharu aplikasi pendidikan agar maklumat tersebar dengan mudah dan pantas.

Isu ketiga pula, bagaimana kita boleh memanfaatkan penggunaan teknologi untuk membangunkan sistem pendidikan digital secara holistik yang akan  memberikan pulangan baik kepada seluruh masyarakat. Usaha ini perlu melibatkan jaringan kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta. Syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Telekom, YTL perlu dilibatkan bagi menjayakan gagasan besar ini dalam pelbagai format serta mengembelingkan semua pemegang taruh pendidikanseperti pihak KPM, NGO, Ibubapa,syarikat-syarikat teknologi, pakar-pakar pendidikan, para teknokrat untuk berkumpul memberikan idea dan menghasilkan cadangan bernas melalui platform digital ke arah penghasilan sistem pendidikan digital ketika kita menhadapi krisis sebegini. Kewujudan industri perfileman digital seperti Neflix, Iflix boleh dimanfaatkan bagi menghadapi cabaran masa depan agar kaedah pembelajaran menjadi menarik dan berkesan.   

Kesan pendemik ini, kita lihat bagaimana kerajaan China telah berusaha membangunkan platform pembelajaran dan penyiaran secara atas talian berasaskan awan baru (new cloud based) serta menaik taraf infrastruktur pendidikan  melalui  kerjasama pintar antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat .

Namun disebalik keghairahan ini, kita tidak harus melupakan Dasar Pendidikan serta  Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Impak Covid 19 akan mempengaruhi sistem pendidikan negara kita bahkan ia adalah cabaran yang perlu ditangani dengan sebaiknya. Jika tidak diurus cabaran ini ia akan  membawa kepada ancaman. Kita mesti menjadikan cabaran sebagai peluang membina inovasi pembelajaran dan pendigitalan sistem pendidikan kita.

Mohd Azizee bin Hasan

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru)

Back to top button