Isu Pendidikan

iGuru Konsisten Tolak UEC

IGURU Konsisten Tolak UEC
4 Julai | KPM | Dewan Za’aba

Semalam, Ustaz Azizee bin Hasan, Presiden i-Guru mewakili iGuru bagi memenuhi undangan ke Bengkel Sindikasi (Town hall) Siri 1 Pemegang Taruh bersama Pasukan Petugas Dasar “Unified Examination Certificate (PPDUEC) bertempat di Dewan Za’aba. Bersama saya juga mewakili iGuru ialah Dr. Sharifah Nurhanum Syed Sahuri dan Cikgu Nurzaim Abd. Sota.

Di dalam sesi ini terdapat kesatuan dan NGO yang membawa suara para guru iaitu wakil Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Melaysia ( Kongres) yang diwakili Presidennya Cikgu Anuar, Dato’ Abdul Raof Husin dari Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Malaysia dan Sdr. Mohd Zai dari Mappim yang mewakili suara guru- guru sekolah agama. Kami bersepakat menolak UEC sebagaimana pertemuan yang diadakan di Melaka anjuran Kongres dan KGMMB pada bulan Januari yang lalu.

Untuk makluman,sesi sindikasi ini turut dihadiri wakil – wakil parti politik seperti UMNO, PAS, MCA, Gerakan dan DAP serta NGO-NGO seperti Isma,Abim, Ikram, Pkpim, Gpms dan pertubuhan- pertubuhan pendidikan seperti NUTP, Dong Zong dan Jio Zhong yang melibatkan 50 jemputan wakil parti dan NGO-NGO. Termasuk juga dijemput tokoh- tokoh seperti Prof Dr Ridhuan Tee, Dato’ Zainal, Dr. Halimah Ali, Lim Swee Tin, Prof Tajuddin, Dr. Tan Ai Mei dan lain- lagi ke sesi Townhall ini.

Sesi perbincangan yang agak panas dan hangat ini merumuskan ada tiga sudut pandang iaitu:
1. Menolak 100 % UEC.
2. Menyokong 100 % UEC.
3. Menerima UEC dengan beberapa syarat yang ketat.

Isu di sini terdapat 3000 dari 85,000 pelajar SMPC yang tidak mengambil SPM dan hanya mengambil sijil UEC. Mereka adalah kelompok minoriti yang tidak mengikuti sistem arus perdana.

Justeru dalam hal ini , iGuru berpandangan mereka mesti menerima pakai sistem pendidikan arus perdana sebagaimana sekolah-sekolah pondok dahulu yang bersedia menerima kurikulum kebangsaan.

Mengiktiraf UEC dengan apa syarat sekalipun akan merosakkan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan matlamat mewujudkan perpaduan kaum akan menjadi sia-sia.

Sebagaimana pandangan Dato’ Prof Dr. Zainal Kling menyebut, UEC jika diiktiraf ia :
1. Melanggar perlembagaan
2. Subversif kepada sistem yang ada
3. Meanaktirikan BM di SJKC , SK dan SJKT
4. Sistemnya anti nasional
5. Menyebarkan fahaman cauvinis, rasis dan kecinaan.
6. Nilai kesetian dan patriotisme luntur.

Oleh itu mengiktiraf mereka untuk kemasukan ke IPTA adalah satu bentuk diskrimininasi kepada pelajar yang telah melalui sistem sedia ada dan membuka peluang tuntutan dari pertubuhan lain untuk meminta pengiktirafan sijil mereka.

iGuru melihat isu pendidikan tidak boleh dipolitikkan atas apa tujuan sekalipun, ia bukan janji menifesto yang mesti ditunaikan atas tuntutan segelintir pihak.

Perbezaan pandangan adalah suatu kemestian namun pertimbangan yang lebih besar ialah bagaimana kita menyiapkan generasi masa depan melalui wadah pendidikan. Pendidikan harus melangkaui kepentingan mana-mana parti, bangsa dan budaya.Ia adalah hak semua rakyat yang merdeka. Menerima pakai sistem pendidikan sedia ada demi pembinaan sebuah negara bangsa adalah satu keperluan tetapi menggunakan kurikulum UEC hanyalah pilihan yang implikasinya bertentangan dengan apa yang termaktub di dalam perlembagaan.

Oleh itu, diharapkan pihak KPM dapat mengambil pandangan yang telah disampaikan dan membuat keputusan dengan matang dan bijaksana.

iGuru mengucapkan terima kasih kepada En Eddin Khoo, Dr. Tan Yew Sing dan Sdr Raimee yang mengetuai PPDUEC.

Back to top button