iGuru Sangkal Kenyataan Tun Bahawa Sekolah Kebangsaan Telah Berubah Jadi Sekolah Agama
1. Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGURU) menyangkal kenyataan Tun Dr. Mahathir bahawa sekolah kebangsaan telah berubah menjadi sekolah agama.
2. iGuru berpandangan kenyataan ini boleh menimbulkan persepsi negatif dan prejudis masyarakat terhadap pendidikan Islam yang di ajar di sekolah-sekolah kebangsaan.
3. iGuru melihat kurikulum pendidikan Islam sedia ada perlu diperkasakan diperingkat rendah lagi dengan orientasi menekankan aspek amali dari teori.Ini kerana waktu pengajaran yang sedia ada hanya 6 waktu yang memakan masa 3 jam seminggu tidak cukup untuk membina keperibadian dan jati diri murid .
4. Penekanan pengajaran subjek agama ini sudah termaktub di dalam Ordinan Pelajaran 1952 di dalam seksyen 70 dan seksyen 86 yang menggariskan hak murid yang beragama Islam untuk mendapatkan pelajaran agama. Ini diperkukuhkan semula di dalam Ordinan Pelajaran 1957 yang mewajibkan sekolah yang mempunyai bilangan murid seramai 15 orang wajib diajar pelajaran agama.
5. iGuru mencadangkan supaya ada jawatankuasa semakan semula kurikulum pendidikan Islam supaya ia dapat membina kualiti murid yang akan mendorongnya menguasai ilmu-ilmu di bidang lain seperti penguasaan bahasa, matematik dan sains.
6. iGuru melihat penekanan subjek pendidikan Islam perlu diberi keutamaan kerana generasi murid hari ini terdedah dengan pelbagai risiko masalah disiplin dan kelunrturan akhlak.
7. Langkah mengurangkan masa pendidikan Islam adalah langkah mundur terkebelakang dan dibimbangi akan menjejaskan kualiti penghayatan agama Islam yang sebenar dan mangsa keadaannya ialah anak-anak Melayu yang beragama Islam.
8. iGuru bersetuju kurikulum Pendidikan Islam perlu dimantapkan dengan elemen yang mampu membangunkan karektor dan menyiapkan mereka untuk mendepani cabaran IR 4.0 dengan olahan yang lebih dinamik dan berdaya saing serta kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk pasaran masa depan tanpa mengabaikan aspek keagamaan.
Presiden iGuru
Mohd Azizee b Hasan