Kenyataan Presiden iGuru di Utusan Online 22 Julai 2018 Berkaitan Isu Pemakaian Kasut Hitam
Sokong tetapi ada isu lebih penting – Khairy

KUALA LUMPUR 21 Julai – Pemakaian kasut hitam dalam kalangan pelajar sekolah yang akan dimulakan pada sesi persekolahan tahun depan bukan isu utama yang perlu diberikan perhatian.
Namun, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, beliau mendukung keputusan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik itu yang membenarkan pelajar sekolah memakai kasut hitam.
‘‘Semua pihak perlu berlaku adil kepada Dr. Maszlee yang mengutarakan isu tersebut dalam forum Bicara Minda Bersama Menteri Pendidikan baru-baru ini. Isu kasut hitam bukan merupakan perkara utama.
“Namun, sebagai ibu bapa kepada pelajar di sekolah kebangsaan, saya #TeamKasutHitam,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.
Keputusan Kementerian Pendidikan untuk menukar warna kasut sekolah kepada warna hitam disambut dengan pelbagai reaksi oleh masyarakat khususnya ibu bapa.
Kebanyakan mereka menerima keputusan itu sebagai menggembirakan memandangkan tugas untuk menjaga kebersihan kasut berwarna hitam lebih mudah.
Sementara itu, Presiden iGuru, Mohd. Azizee Hassan berkata, cadangan Menteri Pendidikan itu menyeragamkan kasut berwarna hitam kepada semua pelajar memang disambut baik, namun berharap tumpuan yang lebih diberikan kepada perkara bersifat fundamental dalam sistem pendidikan negara.
“Sistem pendidikan negara perlu diberikan keutamaan dengan pembaikan prasarana sekolah luar bandar, meningkatkan sistem pembelajaran dan disiplin murid serta memperkasa sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan ibu bapa.
“Teliti semula isu beban beg sekolah pelajar yang menjadi rungutan ibu bapa dan isu beban tugas guru yang perlu ditangani dengan segera,” katanya.
Mohd. Azizee turut berharap Dr. Maszlee dapat memastikan kurikulum pendidikan negara ditambah baik dengan dasar baharu yang memberi manfaat kepada sistem pendidikan sekali gus memartabatkan bahasa Melayu sebagai wadah penyatuan bangsa dan perpaduan kaum dapat diperkasakan.