iGURU Tuntut Perkasa Bahasa Melayu dan Tulisan Jawi
26 Jun 2018 – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) melalui Presidennya Ustaz Mohd Azizee bin Hasan menuntut diperkasakan subjek Bahasa Melayu dan Tulisan Jawi di sekolah-sekolah arus perdana dan universiti awam dan swasta.
iGuru beserta beberapa NGO Pendidikan mencadangkan kepada Menteri Pendidikan agar mana-mana pelajar yang bukan belajar mengikuti aliran perdana dan pelajar antarabangsa wajib lulus Bahasa Melayu Standard sebagai syarat kemasukan ke IPTA. Ini kerana terdapat para pelajar dari luar negara yang belajar di IPTA Malaysia tanpa ada kelayakan lulus Bahasa Melayu. Cadangan iGuru dan beberapa NGO Pendidikan ialah untuk memartabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sekaligus mempertahankan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan perkara 152.
iGuru juga mencadangkan agar subjek jawi diperkenalkan bukan sahaja di sekolah-sekolah kebangsaan tetapi juga di SJKC dan SJKT tanpa menidakkan kepentingan mempelajari Bahasa kedua dan ketiga dunia.
Cadangan itu telah dikemukan kepada pihak Menteri Pendidikan semasa kunjungan hormat iGuru beserta beberapa NGO Pendidikan untuk berdialog tentang beberapa hal berkaitan tentang isu-isu pendidikan negara.
iGuru telah menyerahkan cadangan dan pandangan kepada Menteri Pendidikan YB Mazlee Malik untuk perhatian dan tindakan kementerian Pendidikan bagi memperkasa system pendidikan negara.
iGuru dan NGO Pendidikan turut mencadangkan Majlis Permuafakatan Pendidikan Negara diwujudkan melibatkan semua pihak yang terdiri dari para guru, PIBG, NGO-NGO, pihak pentadbir sekolah yang terdiri SK,SJKC,SJKT, badan swasta diperingkat nasional dan negeri bagi membantu mengangkat martabat pendidikan negara.
Pada masa yang sama iGuru dan NGO Pendidikan berharap pihak KPM sentiasa mengamalkan keterbukaan kepada NGO-NGO Pendidikan di dalam memberikan cadangan-cadangan yang konstruktif.Turut serta menghadiri pertemuan tersebut Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Persatuan Pendokong Sekolah Agama Rakyat Perak.