Perutusan

Perutusan Presiden Sempena Sambutan Hari Guru 2017

Perutusan Presiden Sempena Sambutan Sambutan Hari Guru 2017

Oleh : Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia 

Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia( i-Guru) merasa teruja dengan sambutan hari guru yang diadakan di sekolah. Sambutan Hari Guru adalah platform untuk kita menghargai dan menyanjung tinggi peranan dan jasa guru dalam mendidik para pelajar menjadi insan yang berguna.

Semenangnya jasa dan sumbangan para guru dalam arena pendidikan cukup besar dan punyai signifikannya tersendiri dalam membentuk acuan negara dan bangsa pada masa akan datang. Pernah pujangga bermadah “akar pendidikan itu pahit tapi hasilnya adalah manis”.

Justeru meraikan guru pada hari yang bertuah ini amat-amat dialukan sebagai simbolik kita menghargai jasa dan khidmat bakti mereka, meskipun sewajarnya setiap hari kita perlu meraikannya kerana mereka adalah ibubapa kedua selepas ayah dan ibu di rumah.

Namun amat malang jika majlis sambutan hari guru yang telah diadakan di sekolah-sekolah dipenuhi unsur- unsur keterlaluan, hiburan melampau, nyanyian bingit yang menghilangkan falsafah keguruan dan kependidikan.

Perbuatan tari menari, budaya hedonistik hendaklah dielakkan. I-Guru berasa kesal dengan kejadian seumpama ini dan berharap pihak pentadbir sekolah memantau setiap aktiviti yang dijalankan agar tidak berulang lagi khususnya dalam membina jatidiri para pelajar.

Di samping itu pihak ibubapa melalui PIBG perlu bekerjasama dengan pihak sekolah supaya memastikan proses pendidikan anak- anak dapat dibentuk dengan  sempurna. Menuding jari kepada pihak lain memang mudah dibandingkan memberikan sarana ibubapa dalam melestarikan akhlah dan pembentukan nilai budi para pelajar.

Oleh kerana itu i-Guru berharap sambutan hari guru perlulah diraikan dengan semangat untuk mendidik dan membentuk perilaku pelajar . Elakkan aktiviti yang membawa kepada kerosakan dan ketempangan nilai dan budi.

Hargailah guru dalam setiap masa dan ketika tanpa terhenti pada sehari sahaja kerana jasa guru itu seluas lautan setinggi gunung tidak terbalas budi dan pekertinya, menjadi jariah sepanjang zaman.

Ahmad Syauqi, penyair Arab pernah berkata :

” Bangun dan berilah penghormatan pada seorang guru,

Kerana Guru itu seolah- olah memikul tugas seorang Rasul..”

Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-GURU) merupakan sebuah pertubuhan yang telah berdaftar secara sah di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada 13 Januari 2013. Tujuan utama penubuhan i-GURU adalah untuk menjadi barisan hadapan guru-guru muslim khusus menangani isu dalam dunia pendidikan negara. i-GURU komien untuk memperjuangkan agenda memperkasakan pendidikan yang berteraskan Islam, mengangkat martabat profesion perguruan dan mendidik masyarakat mengamalkan Islam dalam kehidupan.

Mohd Azizee bin Hasan – Presiden Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia ( i-Guru).

Back to top button