1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Ilahi kerana kita telah menempuh tahun baharu 2022. Pelbagai cabaran dan ujian yang telah dilalui sepanjang tahun 2021 khususnya berdepan norma baharu pendidikan demi menyelamatkan generasi dari keciciran pendidikan. Kunci kejayaan disebalik cabaran tersebut ialah kreativiti warga guru, komitmen yang tinggi serta sifat manusiawi seorang pendidik untuk kelangsungan pendidikan masa depan.
2. Pihak iGuru berharap untuk tahun mendatang fokus harus ditalakan kepada usaha memulih dan membina daya tahan pendidikan setelah pasca pandemik Covid 19 melalui Pelan Pemulihan Pendidikan yang bersifat komprehensif dan konstruktif.
3. Pihak KPM juga disaran supaya menyiapkan generasi murid yang kompeten dan bersedia menghadapi realiti baharu pendidikan terutama berdepan era IR4.0, TS25, digitalisasi pendidikan dan cabaran bidang VUCA. Ini menuntut para guru bersedia dengan kompetensi diri dan bersedia berubah untuk masa depan pendidikan yang lebih baik dan mesra warga pendidik.
4. Pada masa yang sama elemen keinsanan tidak diabaikan untuk membina “insaniyatul insan” dikalangan murid sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah membina satu tamadun bangsa yang unggul.
5. iGuru akan terus berjuang untuk memartabatkan makna pendidikan bukan sahaja dari sudut fizikal tetapi yang lebih utama adalah inti dan ruh pendidikan. Seluruh pendidik wajib menjadikan akal, jiwa dan otak mereka adalah otak dan jiwa mendidik.
6. IGuru juga akan terus menyuarakan dengan tegas isu yang melibatkan kepentingan pendidikan dan warga pendidik. IGuru juga akan berusaha menggerakkan usaha memperkasa sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan semua kaum demi mewujudkan satu aliran pendidikan demi perpaduan semua kaum.
7. Semoga warga guru cekal dan istiqamah dalam melaksanakan tugas mendidik dan menta’dib murid. Selamat menempuh tahun baharu dengan semangat baharu, jiwa mendidik dan minda positif dan kreatif.
Salam Tahun Baharu 2022.
Ustaz Mohd Azizee Hasan
Presiden i-GURU
Sabtu, 1 Januari 2022 | 27 Jamadil Awwal 1443H