Perutusan Presiden iGuru Sempena Hari Guru 2018
Selamat Hari Guru
Salam buat warga pendidik sekalian.
Tanggal 16 Mei setiap tahun kita meraikan sambutan Hari Guru. Sambutan ini amat signifikan untuk kita mengenang dan menghargai jasa dan pengorbanan para guru. Guru telah memainkan peranan penting dalam mengubah paradigma para pelajar seterusnya menyiapkan mereka sebagai pewaris kepemimpinan negara masa hadapan.
Jasa dan budi para guru bukan kepalang. Tak ternilai jika dibanding dengan nilai harta dan wang ringgit. Merekalah pencetus kesedaran, pelopor kebangkitan dan arkitek pembangunan modal insan . Sejarah menyaksikan obor kemerdekaan negara dimulai dengan kesedaran para pendidik untuk merubah nasib anak bangsa dari minda terjajah kepada jiwa merdeka.
Hari ini dunia pendidikan sangat rencam. Kita berdepan cabaran revolusi 4.0 dan ketempangan arah pembinaan watak generasi masa depan. Guru terbeban dengan tugas yang banyak. Manakala arah tuju Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025 masih kabur dan belum menampakkan keberhasilannya ditahap yang membanggakan.
Ketika ini kita melihat aspek pendidikan kurang menekankan teras keagamaan sebagai wahana pembinaan generasi. Justeru hadirnya Hari Guru seharusnya menjadi wadah para pendidik mengemblingkan usaha dan daya fikir bagi memacu transformasi pendidikan dengan sebenarnya.
Selaras dengan perkembangan baharu pasca PRU 14, iGuru menggesa pihak KPM menilai semula keberkesanan dasar DLP dan bersikap tegas dan adil berkaitan sijil UEC.
Sesungguhnya masa depan negara terletak kepada pembangunan modal insan . Kejayaan pembinaan generasi hari ini akan menjamin kelangsungan tamadun masa depan.
Semoga Hari Guru tahun ini disambut meriah demi membina kewibawaan negara dan ummah yang bermaruah.
Benarlah kata Ahmad Shauqi dalam syairnya.
“Bangun dan berilah penghormatan kepada seorang guru.
Kerana guru itu tugasnya seumpama tugas para rasul”.
Selamat Hari Guru
“Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”.
En. Mohd Azizee Hasan
Presiden iGuru