Isu Pendidikan

Bantu Pelajar Kekal Positif Dalam Tempoh PKP

BANTU PELAJAR KEKAL POSITIF DALAM TEMPOH PKP.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara telah memasuki fasa kedua mulai 1 April 2020 bagi membendung pandemik Corona Virus Disease (COVID 19). Pelbagai institusi pendidikan masih ditutup termasuklah sekolah. Secara tidak langsung, situasi ini telah merubah proses pengajaran dan pembelajaran yang dahulunya dilakukan secara bersemuka di dalam bilik darjah. Kini, proses tersebut dijalankan secara atas talian melalui aplikasi-aplikasi tertentu seperti Zoom, Whatsapp, Telegram, Facebook dan Google Classroom serta yang terbaharu siaran televisyen digital yang diperkenalkan semula oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Tidak dinafikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara maya dan jarak jauh seperti ini memberikan manfaat akademik kepada para pelajar terutamanya calon-calon peperiksaan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, perhatian juga perlu diberikan kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan sosial pelajar agar mereka kekal positif dan sejahtera sepanjang tempoh PKP ini. Laporan statistik talian KASIH semasa tempoh PKP mendapati terdapat aduan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak. Selain itu, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan terdapat hampir 100 orang pesakit COVID-19 berada dalam lingkungan usia 6 hingga 20 tahun dan 43 orang daripada mereka berusia 11-15 tahun. Terdapat juga sebahagian pelajar kita yang terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa atau adik beradik yang disahkan positif COVID 19. Situasi-situasi ini memberikan gambaran bahawa sebahagian pelajar terdedah kepada keadaan tidak selamat dan berisiko, pengalaman yang menyakitkan atau menyedihkan sehingga boleh mewujudkan tekanan emosi dan trauma untuk satu jangka masa tertentu.

Kajian di peringkat global menunjukkan bahawa penutupan sekolah dan aktiviti kuarantin atau berkurung akibat wabak penyakit berjangkit seperti Ebola dan SARS menjejaskan perkembangan sosial dan emosi serta pencapaian akademik pelajar. Dari aspek sosial, bilangan kenalan pelajar berkurang sebanyak 65% dan pelajar berusia 16 hingga 18 tahun merupakan kumpulan paling terkesan kerana mereka mempunyai kenalan yang ramai. Pengasingan diri daripada rakan adalah sesuatu yang sukar bagi mereka dan menimbulkan tekanan atau desakan sosial untuk berinteraksi dengan rakan-rakan sekolah. Di rumah, jurang atau masalah komunikasi yang wujud antara pelajar dan ahli keluarga juga turut memberi tekanan kepada mereka. Akibatnya, pelajar cenderung untuk menyendiri di dalam bilik atau keluar dari rumah untuk melakukan aktiviti sosial dengan rakan-rakan mereka.

Dalam tempoh PKP, ibu bapa dan ahli keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar mendapat sokongan sosial yang sewajarnya. Berikutan penutupan sekolah, terdapat kajian yang menyatakan bahawa masih ada ibu bapa atau penjaga tidak bersetuju dengan penutupan sekolah kerana menjejaskan pendidikan anak-anak mereka, kesukaran menguruskan anak-anak di rumah terutamanya bagi ibu bapa atau penjaga yang bekerja dan tidak mempunyai pengasuh. Di media sosial, segelintir ibu bapa mengadu sedikit tertekan apabila perlu menguruskan pembelajaran dan tingkah laku anak-anak dan bekerja di rumah pada masa yang sama. Bahkan mereka turut menganggap perlanjutan tempoh PKP bertujuan memberi kebebasan kepada para guru daripada tugas mengajar dan menyusahkan ibu bapa.

Bagi calon peperiksaan, pelbagai persoalan bermain di fikiran mereka seperti bilakah PKP akan berakhir dan adakah selamat untuk mereka ke sekolah?. Adakah tarikh peperiksaan baharu memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk mereka bersedia menduduki peperiksaan? Adakah pencapaian mereka boleh mencapai keputusan peperiksaan yang setelah mengikuti kaedah pembelajaran secara maya dan jarak jauh?. Tanpa kita sedar, keresahan dan kebimbangan mereka mengganggu proses pembelajaran mereka di rumah. Lebih membimbangkan, calon peperiksaan menerima kesan bencana tertangguh (Delay Disaster Impact) iaitu kemerosotan prestasi atau pencapaian akademik pelajar akibat gangguan atau tekanan yang dialami sepanjang tempoh PKP ini.

Oleh yang sedemikian, adalah penting untuk memastikan pelajar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dan mempunyai daya tahan untuk menghadapi pelbagai bentuk tekanan sepanjang tempoh PKP ini. Ibu bapaatau penjaga perlu membantu pelajar untuk memahami dan menerima dengan sabar situasi yang berlaku pada masa ini. Mereka juga perlu mewujudkan persekitaran yang selesa dan memberi perhatian kepada keperluan asas pelajar seperti ruang tempat tinggal yang selamat dan makanan yang mencukupi. Selain itu, mereka perlu membantu pelajar untuk mematuhi arahan PKP dan garis panduan daripada KKM untuk mengurangkan risiko pelajar terdedah kepada dijangkiti COVID 19. Di rumah, pastikan mereka tidak mengasingkan diri daripada ahli keluarga yang lain atau menyendiri di dalam bilik. Ibu bapa perlu mewujudkan komunikasi yang sihat melalui aktiviti-aktiviti yang menarik dan bermanfaat serta memberi ruang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan rakan-rakan melalui panggilan telefon atau aplikasi media sosial yang sesuai dan selamat.

Dari aspek pembelajaran, ibu bapa, guru dan pelajar perlu berbincang tentang matlamat dan halatuju pelajar selepas tamat tempoh PKP. Jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pencapaian akademik pelajar perlu munasabah dan sesuai dengan kemampuan diri pelajar. Sepanjang tempoh PKP, pastikan pelajar diberi ruang yang sesuai dan masa yang mencukupi untuk melakukan kerja sekolah dan mengulangkaji pembelajaran di samping kerja rumah seperti mengemas bilik dan membasuh pinggan. Ibu bapa juga boleh mengambil inisiatif untuk berperanan sebagai mentor kepada pelajar dalam mempelajari atau memahami topik-topik tertentu atau mengupah tutor peribadi sekiranya berkemampuan. Komunikasi dua hala yang berkesan dan harmoni antara ibu bapa dan guru atau pihak sekolah akan mewujudkan perkongsian tanggungjawab dan kebersamaan dalam mendidik pelajar sepanjang tempoh PKP.

Secara umum, pandemik COVID 19 telah mewujudkan situasi ketidaktentuan dalam masyarakat dan memberi impak kepada semua sektor dalam negara termasuklah pendidikan. Walaupun kita tidak pasti bilakah pandemik ini akan berakhir, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan pelajar berada dalam keadaan sihat dan sejahtera sepanjang tempoh PKP berlangsung. Pelajar kita merupakan generasi yang akan membentuk model kepimpinan negara pada masa akan datang. Percayalah, kejayaan kita mendidik mereka melalui fasa-fasa mencabar sepanjang tempoh PKP akan melahirkan generasi yang kuat dan berdaya tahan dalam mempertahakan negara daripada sebarang bentuk ancaman.

8 April 2020.
Dr. Sarifah Nurhanum Syed Sahuri
Pensyarah Kanan (Pendidikan), USIM merangkap
Jawatankuasa Pusat Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru)

Back to top button