Tingkatkan Kualiti Saluran TV Pendidikan Tangani PDPC Luar Bandar
Kenyataan Media
Isnin 13 April 2020
Tingkatkan Kualiti Saluran TV Pendidikan Tangani PDPC Luar Bandar
- iGuru mengucapkan terima kasih kepada pihak KPM kerana telah melaksanakan pelbagai kaedah pembelajaran sepanjang tempoh PKP ini dengan mewujudkan TV Okey saluran RTM 1 selain pembelajaran secara atas talian.
- Namun begitu i-Guru mencadangkan supaya pihak KPM mengambil kira aspek-aspek berikut agar kaedah ini dimantapkan dan diperkasakan bagi membantu pembelajaran murid-murid terutama yang berada di kawasan luar bandar dan bermasalah dari sudut capaian internet.
- Perkara ini di ambil kira memandangkan sesi persekolahan yang belum pasti dan berkemungkinan berlaku perubahan jadual peperiksaan. Berikut adalah cadangan yang boleh dipertimbangkan:
a) Mewujudkan satu saluran khas TV Pendidikan yang tidak menumpang mana-mana saluran TV supaya subjek-subjek wajib peperiksaan dapat diulang siar setiap hari . Secara tidak langsung TV Okay berdiri di atas saluran tersendiri tanpa menumpang di saluran TV RTM.
b) TV Pendidikan ini disiar berjalan setiap hari dengan diadakan jadual setiap subjek mengikut hari berdasarkan peperiksaan agar murid-murid dapat mengikutinya dan tidak terlepas siaran. Contohnya untuk hari isnin disiarkan subjek SPM manakala hari selasa untuk subjek PT3 dan seterusnya atau secara sesi seperti sesi pagi untuk subjek UPSR, petangnnya subjek PT3 melalui cara pergiliran.
c) Pihak KPM hendaklah memanfaatkan guru-guru cemerlang setiap subjek agar kepakaran mereka dikongsi melalui pengajaran di dalam TV Pendidikan ini. Selain itu pihak KPM boleh juga menjemput guru-guru yang mahir di dalam penggubalan dan pemeriksaan kertas peperiksaan untuk berkongsi ilmu berkaitan teknik menjawab peperiksaan di dalam slot TV ini selain sebagai saluran pendidikan.Ini bagi membantu murid-murid yang berada di luar bandar dan pendalaman serta merapatkan jurang pendidikan.
d) Mengadakan satu slot pengajaran secara live seperti program Tilawah Interaktif agar pelajar-pelajar dapat bertanya terus kepada guru yang sedang mengajar dan dimanfaatkan ilmu untuk semua pelajar. Ini bermaksud slot pengajaran interaktif ini lebih bersifat dua hala dan tidak sekadar berpaksikan guru semata-mata. Semasa siaran secara live ini, ada sesi untuk bertanya soalan dan guru merespon soalan semasa siaran sedang berlangsung. Pihak TV juga bolehlah menjemput para penonton dari kalangan murid-murid terpilih untuk terlibat di dalam siaran secara langsung (live) dalam kapasiti yang dibenarkan mengikut pematuhan sepanjang PKP. Manakala soalan-soalan yang ditanya secara online menggunakan alat peranti pintar sepanjang pembelajaran ini bolehlah dipapar di skrin TV agar dapat dipelajari bersama.
e) Pihak KPM melalui Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) bolehlah bekerjasama dengan Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia untuk meningkatkan kualiti TV Pendidikan serta mencari inisiatif dengan syarikat-syarikat telekomunikasi swasta bagi menjayakan hasrat ini untuk membina siaran TV yang berkualiti dan interaktif di samping penajaan alat peranti kepada murid-murid di luar bandar.
f) Selain dari penggunakan TV Pendidikan, adalah dicadangkan pihak KPM menjadikan medium radio sebagai sumber maklumat ilmu . Meskipun radio sudah tidak digunakan seperti dulu, namun dalam keadaan seperti ini,ia boleh dimanfaatkan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
- Harapan i-Guru agar semua murid di luar bandar mendapat akses pendidikan terbaik sepanjang tempoh PKP sekaligus membantu proses PdPc mereka dan tiada mana-mana murid yang tercicir dan ketinggalan.
Mohd Azizee Hasan
Presiden i-Guru