
iGuru sambut baik pengumuman YB Menteri Pendidikan
Kenyataan iGuru berhubung kenyataan media YB Menteri Pendidikan
Tarikh : 15 April 2020
iGuru sambut baik pengumuman YB Menteri Pendidikan
1. iGuru menyambut baik pengumuman YB Menteri Pendidikan dan amat berterima kasih kerana pihak KPM mendengar pandangan dan keluhan ibubapa. Pengumuman tadi adalah langkah bijak dan bukti proaktif pihak KPM bagi menangani situasi berdepan cabaran Covid 19.
2. iGuru bersetuju agar aspek keselamatan murid- murid tetap diutamakan sehingga keadaan benar- benar pulih untuk pembukaan sesi persekolahan.
3. Manakala cadangan pembatalan UPSR dan PT3 adalah tindakan yang wajar dan pihak KPM melalui Lembaga Peperiksaan perlu mencari solusi baharu format pentaksiran yang bersesuaian, yang lebih holistik dan memudahkan penilaian untuk kemasukan ke sekolah- sekolah pilihan dan penjurusan bidang sains atau sastera.
4. iGuru bersetuju hanya pelajar SPM dan STPM dibenarkan kembali ke sekolah dengan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh pihak KPM, KKM dan MKN. Semua pihak perlu berdisiplin dan akur dengan SOP tersebut.
5. iGuru juga meminta pihak KPM meningkatkan kualiti penggunaan TV Pendidikan serta dinaik taraf Radio Pendidikan agar lebih interaktif dan dapat menampung keperluan pelajar di pendalaman. Memaksimumkan penggunaan digital sebagai wahana PdPC adalah langkah terbaik mendepani tempoh PKP.
6. Semua warga guru wajar mengoptimumkan pelbagai medium pengajaran secara atas talian dan kaedah komunikasi agar
anak- anak di pendalaman dan luar bandar tidak keciciran.
7. Satu langkah yang boleh dilaksanakan untuk membantu anak- anak di luar bandar dan tidak memiliki alat paranti pintar ialah mewujudkan Skim Waqaf Telefon Pintar kepada anak – anak yang memerlukan di samping pihak kerajaan meningkatkan capaian internet.
8. Pihak KPM juga boleh mempertimbangkan untuk memberikan insentif kepada guru- guru yang yang berkeupayaan untuk hadir memberikan pengajaran secara berkala kepada pelajar yang jauh dari akses internet dan kemudahan dengan menjadikan dewan orang ramai sebagai pusat pembelajaran. Langkah ini bagi mengatasi murid- murid yang menghadapi kekangan kemudahan dan capaian internet.
9. iGuru berdoa semoga Allah memudahkan segala urusan demi memastikan semua pelajar tidak terpinggir dan tercicir.
Presiden iGuru
Mohd Azizee Hasan