Isu : Pengenalan Kaligrafi Tulisan Khat Di Dalam Subjek Bahasa Melayu Tahun 4 Di Sjkc/Sjkt Mulai Tahun 2020 _Respon Kepada Penentangan Pemimpin Politik Cina
KENYATAAN MEDIA iGURU
ISU : PENGENALAN KALIGRAFI TULISAN KHAT DI DALAM SUBJEK BAHASA MELAYU TAHUN 4 DI SJKC/SJKT MULAI TAHUN 2020 _RESPON KEPADA PENENTANGAN PEMIMPIN POLITIK CINA
Tarikh : 01 OGOS 2019
1. Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyokong usaha pihak KPM untuk memperkenalkan kaligrafi Khat di dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 sebagai satu usaha meningkatkan pengetahuan mengenai seni keindahan menulis.
2. Langkah ini bersesuaian dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan usaha memartabatkan serta mengukuhkan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan sebagaiman termaktub di dalam Dasar Bahasa Kebangsaan.
3. iGuru bersependapat dengan NUTP bahawa pengajaran ini dapat meluaskan pengetahuan para murid mengenai jenis-jenis tulisan kaligrafi yang ada di dunia ini seperti Barat (western), Timur (oriental) dan Arab (arabic). Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran murid-murid menulis tulisan cantik dengan pelbagai bentuk di samping menerapkan seni estetika dan menerapkan aspek keseronokkan di dalam pembelajaran.
4. Di peringkat sekolah kebangsaan lagi ,murid-murid telah diperkenalkan subjek Bahasa Cina dan mereka mempelajari kaligrafi Cina. Sementara di SBP juga diperkenalkan subjek Bahasa Cina dan tiada halangan untuk kaum lain mempelajari kaligrafi Cina sebagai satu seni keindahan tulisan.
5. iGuru menolak dakwaan pemimpin politik Cina yang mempertikaikan pengajaran tulisan Khat kerana ia tiada kaitan dengan objektif agama atau kaum. Seni Khat adalah seni keindahan tulisan seperti kaligrafi Cina dan tulisan India atau mana-mana bahasa di dunia . Seni Khat adalah seni penulisan jawi yang sememangnya berkait rapat dengan keunikan Bahasa Melayu.
6. iGuru menggesa pihak KPM tidak tunduk kepada desakan pihak tertentu atas nama kepentingan politik kerana tindakan mereka menggugat kewibawaan Bahasa Melayu dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Menggunakan sentimen politik tanpa kewarasan akan menghalang usaha memupuk perpaduan dan intergrasi nasional melalui wadah pendidikan.
En. Mohd Azizee b Hasan
Presiden Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia (iGuru)