Isu Pendidikan

Cadangan iGuru kepada YB Menteri Pendidikan berkaitan pembukaan sesi persekolahan baru.

Kenyataan Media
06 April 2020

Cadangan iGuru kepada YB Menteri Pendidikan berkaitan pembukaan sesi persekolahan baru.

Utamakan Keselamatan Murid-Murid dan Warga Pendidik

1. Ikatan Guru- Guru Muslim menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri Pendidikan kerana sudi mendapatkan pandangan semua pihak berkaitan pembukaan sesi persekolahan baru yang dimuatkan di laman FB.

2. Berikut adalah cadangan dan pandangan untuk dipertimbangkan.

a) Kami melihat tiada sesi persekolahan baharu dimulakan sehinggalah zero isu Covid 19 dan keadaan benar-benar pulih. Perkara ini mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga 4 bulan termasuk satu bulan untuk proses penyahkuman dan nyahinfeksi agar sekolah benar-benar bebas dari wabak bahaya ini. Segala operasi mesti tertakluk kepada SOP yang ditetapkan oleh pihak KKM.

b) Pihak KPM perlu mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan murid dan guru-guru untuk mengelakkan gelombang baharu Covid 19. Menjaga keselamatan nyawa adalah satu dari tuntutan maqasid syarak demi kelangsungan hidup. Kajian juga menunjukkan negara-negara seperti Singapura yang cuba membenarkan sesi persekolahan akhirnya terpaksa akur untuk menutup semula kali kedua.

c) Mendapatkan pandangan semua pihak dari peringkat atas sehingga akar umbi melibatkan pemegang taruh pendidikan seperti kesatuan pendidikan,pentadbir sekolah,warga guru dan ibu bapa. Memberikan kerjasama dan mendapatkan nasihat dengan pihak yang memiliki lokus standi dalam hal ini iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara amat penting dan diberi keutamaan.

d) Pembelajaran digital perlu dioptimumkan dan dimaksimumkan seperti e-learning (google classroom/whatsApp /Telegram/EduWeb /Cikgootube )serta meningkatkan akses penyampaian ilmu melalui siaran tv pendidikan ( TV Okey) yang sedang dilaksanakan oleh pihak KPM. Untuk itu pihak kerajaan juga perlu meningkatkan capaian internet di kawasan luar bandar serta menyediakan insentif bantuan peranti pintar kepada murid-murid yang benar-benar memerlukan.

e) Jika sesi persekolahan dibuka seawal Jun, pihak KPM hendaklah mengutamakan pelajar dari kelas peperiksaan dengan mematuhi saranan dari pihak KKM dan SOP yang ditetapkan dan hanya berfokus kepada subjek-subjek yang memerlukan bimbingan guru terutama subjek sains dan matematik. Ia hendaklah dijalankan di kawasan yang benar-benar bebas wabak. KPM boleh mempertimbangkan untuk menjadikan dewan ramai atau tadika-tadika milik kerajaan untuk dijadikan pusat pembelajaran supaya pergerakan murid terhad untuk 10-30 orang agar tiada pergerakan melebihi 5 kilometer serta menentukan guru-guru tertentu yang berdekatan untuk mengajar dalam tempoh masa yang singkat ( 2-4 jam) dengan tempoh 2-3 hari seminggu. Selebihnya pembelajaran dijalankan secara atas talian.

f) Merombak semula jadual peperiksaan utama seperti UPSR,PT3, SPM dan STPM serta menstruktur format soalan yang bersesuaian. Pihak Lembaga Peperiksaan boleh menentukan subjek tertentu diuji secara atas talian dan selebihnya dilaksanakan di pusat-pusat peperiksaan dengan SOP yang ditetapkan.

g) Semua aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan “mass gathering” hendaklah ditiadakan demi memastikan keselamatan semua murid dan guru terjaga dengan penjarakan sosial.

3. iGuru berharap semua guru, ibubapa dan murid- murid terus bersabar dan tabah menghadapi ujian serta setia mematuhi arahan semasa PKP .

Mohd Azizee Hasan
Presiden iGuru

Back to top button