i-Guru Sambut Baik Pdpc Guna Alat Peranti
Merujuk cadangan Kementerian Pendidikan untuk membenarkan pelajar menggunakan alat peranti seperti komputer riba dan telefon bimbit ke sekolah bagi tujuan pengajaran dan pemudahcara (Pdpc) mengikut mada dan subjek yang ditetapkan baru-baru ini, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru)menyambut baik cadangan tersebut kerana langkah itu dapat meningkatkan keupayaan dan kualiti pengajaran guru melalui alat-alat peranti selain pelajar juga dapat mengakses pengetahuan dari sumber maya sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap subjek yang dipelajari.
Langkah itu selari dengan hasrat kementerian untuk melahirkan generasi pelajar yang celik teknologi di samping mengaplikasikan pembelajaran abad ke-21. Begitupun iGuru berpendapat, kebenaran alat peranti dalam kalangan pelajar perlu mengambil kira beberapa perkara agar tidak disalahgunakan sehingga membawa kepada beberapa permasalahan tertentu.
Antara aspek yang perlu diambil kira ialah tempoh masa penggunaan alat peranti, penempatan zon pembelajaran, kawasan zon Wifi dan penyimpanan alat peranti di tempat yang dikahskan lebih lebih lagi melibatkan pelajar asrama. iGuru bimbang para pelajar tidak mengoptimumkan tumpuan kepada process pembelajaran dan menggunakan alat peranti untuk tujuan keseronokan.
Apapun hasrat murni kementerian berkenaan untuk melonjakkan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 perlu disokong dengan memastikan aspek pembinaan nilai dan pembentukan jati diri pelajar tidak diabaikan.
– Mohd Azizee Hasan: President iGuru –