Isu Pendidikan

Iktiraf UEC Cabar Kepentingan dan Kedaulatan Negara

Seremban 09 Ogos 2018,Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia Cawangan Seremban telah menganjurkan wacana berkaitan UEC bagi mendedahkan implikasi jika pengiktiran sijil UEC diterima pakai di dalam sistem pendidikan negara. Mengangkat tema wacana “UEC Tuntutan atau Pengkhianatan” telah membariskan 3 ahli panel iaitu Prof Dato’ Teo Kok Seong Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Ustaz Mohd Azizee bin Hasan Presiden i-Guru dan Dr. Sharifah Hanum bt Sahuri Pensyarah Program Pendidikan Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM.

Menurut Prof Dato’Teo Kok Seong, pengiktiran UEC adalah satu bentuk penderhakaan kepada negara. Katanya ”jika sekiranya UEC dibenarkan ia membawa kepada polirisasi kaum bahkan ia melebarkan jurang menyatukan semua kaum dibawah satu bumbung, sistem pendidikan kita mesti kembali kepada apa yang termaktub di dalam Laporan Penyata Barnes 1950 yang menekankan satu aliran sekolah iaitu sekolah kebangsaan”. Menurutnya pengiktiran ini menunjukkan para pemimpin kita tidak mempunyai jiwa negarawan dan lebih mementingkan kepentingan politik dan parti masing-masing. Beliau bersetuju mewujudkan sekolah satu aliran dan mengkaji semula keberkesanan sekolah-sekolah vernakular.

Manakala Presiden i-Guru Ustaz Mohd Azizee Hasan pula berpendapat pengiktirafan UEC mencabar apa yang termaktub di dalam perlembagaan perkara 152(1) yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Pengtirafan sijil ini juga katanya bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 63/67 dan Akta Pendidikan 1961 yang menekankan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di dalam kurikulum pendidikan negara.Katanya “mengiktiraf sijil UEC ini bererti mencabar kepentingan semua kaum dan kedaulatan negara, apakah kita rela kedaulatan negara tercabar”.Beliau berterima kasih kerana pihak YB Menteri yang bersedia untuk mengkaji sijil ini dengan mendapatkan pandangan tokoh-tokoh, pakar dan mereka yang berkepentingan terhadapnya (stake holder). Kerajaan tidak perlu terburu-buru untuk mengiktirafnya atas desakan mana-mana pihak.

Bagi Dr. Sharifah Hanum bt Sahuri yang merupakan pensyarah Program Pendidikan di USIM pula dengan mengiktiraf UEC ia adalah bentuk ketidakadilan kepada pelajar-pelajar yang melalui sistem pendidikan arus perdana yang menggunapakai sukatan dan kurikulum kebangsaan dan juga peperiksaan kebangsaan. Beliau berpandangan pengiktirafan ini akan merugikan juga pelajar-pelajar Cina yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan.

Wacana yang dihadiri lebih 100 hadirin , dari pelbagai lapisan umur itu bersetuju bahawa mengiktiraf UEC akan mencabar kepentingan dan kedaulatan negara. Bahkan mengkhianati apa yang termaktub di dalam perlembagaan negara. Menurut Ustaz Azzahar selaku YDP i-Guru Negeri Sembilan , wacana ini dianjurkan sebagai bukti keprihatinan i-Guru terhadap polisi kerajaan berkaitan pendidikan dan pada masa yang sama menzahirkan pendirian i-Guru berkaitan sijil UEC. Katanya “i-Guru konsisten menuntut sijil ini tidak iktiraf dan kita telah berkali-kali mengeluarkan pandangan berkaitan isu ini”.

Back to top button