Isu : Cadangan Menutup Sekolah Tahfiz oleh Tan Sri Zainudin Maidin
1. Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) membantah cadangan Tan Sri Zainudin Maidin untuk menutup sekolah-sekolah tahfiz.
2. Kewujudan sekolah-sekolah tahfiz adalah memperkasa apa yang termaktub di dalam perlembagaan negara perkara 3(1) Islam Agama Persekutuan yang bukan sekadar menafsirkan Islam sebagai agama ritual tetapi Islam sebagai satu cara hidup yang merangkumi semua dimensi kehidupan.
3. Hak-hal yang berkaitan pentadbiran Islam yang termasuk dibawahnya berkaitan sekolah-sekolah tahfiz adalah dibawah kuasa Raja yang menjadi Ketua Agama Islam Negeri. Pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2016 telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja . Ini membuktikan kewujudan sekolah-sekolah tahfiz sebagai satu langkah memartabatkan syiar Islam di dalam negara.
4. Cadangan dan syor Tan Sri Zainudin terlalu radikal dan mencerminkan sikap prejudis beliau terhadap institusi sekolah tahfiz.
5. Sewajarnya yang diperlukan ialah membaiki kelemahan dan kekurangan yang ada di sekolah-sekolah tahfiz dari sudut bantuan infranstruktur, pendaftaran dibawah majlis agama negeri atau Jakim, penyelarasan kurikulum dan kekurangan guru.
6. iGuru melalui pertemuan dengan YB Menteri Pendidikan pada 26 Jun 2018 mencadangkan supaya diwujudkan Tvet di sekolah-sekolah tahfiz serta membiayai pelajar untuk melanjutkan pelajaran di bidang pendidikan tahfiz.
7. iGuru kesal dengan kenyataan yang dikeluarkannya dan berharap pihak kerajaan menolak cadangan tersebut dan sebaliknya berusaha menjadikan sekolah tahfiz sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang menggabungkan aspek duniawi dan ukhrawi.
Mohd Azizee bin Hasan
Presiden iGuru