Isu Pendidikan

Polimik Tulisan Jawi- Dong Jiao Zong Anti Nasional

1. Menjelang 28 Disember, sehingga saat ini Pertubuhan Pendidikan kaum Cina Dong Jiao Zong belum lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan pembatalan Kongres Perhimpunan NGO Cina bagi membantah Penggunaan Tulisan Jawi di dalam buku teks tahun 4 meskipun ada pemintaan menghentikan kongres tersebut oleh YAB Perdana Menteri.

2. Hanya dengan 3 muka surat sahaja yang pada asalnya 6 muka surat seolah-olah ia adalah proses islamisasi dan melayunisasi kaum cina. Hakikatnya 3 muka surat yang tertera pada jata negara dan wang kertas ringgit tidak akan mengubah identiti kaum cina sebagaimana kata pejuang tegar DAP Lim Kit Siang.

3. Menurut pandangan Prof Dr Teo Kok Seong, langkah Dong Jiao Zong ini bukan sekadar bersifat cauvinis bahkan sudah anti nasional dan boleh menyemarakkan api perkauman dan perbalahan kaum.Apalah sangat dengan 3 muka surat ini kalau hendak dibandingkan dengan buku teks Bahasa Cina, Bahasa Jepun, Bahasa Jerman mahupun Bahasa Perancis yang dipelajari oleh murid-murid melayu Islam di sekolah-sekolah berasrama penuh dan sekolah pilihan tertentu. Setakat sistem yang sedia ada ini, tiada lagi bantahan dari mana-mana pelajar dan juga mana-mana ibubapa berkaitan pembelajaran subjek Bahasa Asing di sekolah- sekolah tersebut.

4. Tulisan jawi adalah sinonim dan sebati dengan Bahasa Melayu. Untuk pengetahuan,Akta Bahasa Kebangsaan 1963 secara jelas mengatakan bahawa Bahasa Kebangsaan itu ditulis di dalam tulisan rumi dan ia tidak menghalang penggunaan tulisan jawi.

5. Sejarah pembentukan negara melalui perisytiharan kemerdekaan ditulis dengan tulisan jawi. Manakala surat-surat balas residen British kepada Raja-Raja Melayu juga ditulis dengan tulisan jawi.

6. Secara tidak langsung tulisan jawi telah menjadi aksara bangsa dan warisan negara yang mesti dipelihara dan dipertahankan. Ia bukan satu bentuk indoktrinisasi keagamaan dan usaha pemelayuan kaum tetapi satu simbol identiti bangsa sebagaimana terukir pada wang kertas ringgit dan jata negara.

7. Tindakan Dong Jiao Zong yang satiap kali mencabar apa yang termaktub di dalam perlembagaan negara berkaitan kedaulatan bahasa kebangsaan bolehlah ditakrifkan sebagai mencabar perlembagaan persekutuan dan satu usaha mengubah identiti negara. Sewajarnya pihak Dong Jiao Zong melihat pembelajaran tulisan jawi adalah satu seni mempelajari nilai estetika bangsa dan usaha melatih ‘fine motor skills’ bagi menjana generasi yang berkemahiran tinggi serta berkepakaran.

8. Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) membantah sekeras-kerasnya tindakan Dong Jiao Zong. iGuru menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan keras terhadap langkah tersebut kerana ia bersikap anti nasional dan anti perpaduan. iGuru berharap pihak Dong Jiao Zong menghentikan segera kongres membantah pengenalan tulisan jawi dan mengutamakan kepentingan nasional.

9. Apakah tindakan Dong Jiao Zong ini seperti tindakan kerajaan China yang berusaha menghapuskan etnik minoriti Uyghur.Ketika kerajaan China menakut-nakutkan etnik Uyghur dengan ancaman keganasan, Dong Jiao Zong pula menakutkan –nakutkan kaum Cina dengan 3 muka surat tulisan jawi yang menyebabkan anak-anak Cina memeluk Islam. Ketika Kerajaan China cuba meneutralkan minoriti Islam supaya tidak mengamalkan ajaran Islam, Dong Jiao Zong pula meneutralkan majoriti muslim menentang 3 mukasurat jawi yang ingin di ajar kepada minoriti bukan Islam. Begitu juga kerajaan China mendakwa membina kem pendidikan vokasional untuk men’china’kan etnik Uyghur sedangkan Dong Jiao Zong pula berjuang mempertahankan sekolah-sekolah vernakular untuk menjaga ke ‘cinaan’ mereka.

10. Jelas terang lagi bersuluh langkah dan tindakan Dong Jiao Zong bersikap melampau dan anti nasional.Maka wajar Dong Jiao Zong membatalkan hasrat mereka dan kembali menghormati Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta wajar juga pertubuhan seperti ini dilihat semula keabsahan sebagai sebuah ngo.

Mohd Azizee Hasan
Presiden iGuru

Back to top button