Respon iGuru terhadap kenyataan YB Menteri Pendidikan berkaitan subjek Sejarah dan Isu 1MDB
1. iGuru setuju kurikulum sejarah dirombak dan dinilai supaya subjek tersebut lebih mampu mengangkat jatidiri bangsa dan semangat patriotisme.
2. Intipati kandungan sejarah sedia ada tidak berjaya membentuk semangat kepahlawanan dan keperwiraan serta berbangga dengan sejarah bangsa sendiri terutama sejarah peradaban melayu dan perjuangan bangsa malaysia dalam menghadapi cabaran masakini.
3. Ini yang sewajarnya YB Menteri Pendidikan perlu masukkan dan beri perhatian dari hal kisah 1MDB meskipun ia adalah satu kisah sejarah politik negara. Jangan jadikan ia satu tindakan politik dendam terhadap kerajaan terdahulu walaupun isu 1MDB telah menjatuhkan kerajaan terdahulu. Ia boleh disentuh secara sepintas lalu untuk diambil pengajaran dan pembelajaran.
4. Cabaran terbesar dalam subjek sejarah ialah bagaimana pembelajaran sejarah mampu memupuk perpaduan kaum dan penyatuan bangsa di saat kita hari ini berdepan dengan usaha memecah kesatuan bangsa Malaysia dan api perkauman yang menebal.
5. Semua kaum perlu mempelajari sejarah negara ini dengan betul dan tepat serta mengiktiraf ia sebagai dokumen penting untuk dijadikan panduan perjalanan ke arah pembentukan satu masyarakat yang harmoni dan bersatu padu serta tinggi patriotisme terhadap negara berasaskan acuan sejarah dan perlembagaan negara.
Presiden iGuru